Sahabat

SaHaBaT uMpAmA aIr YaNg MeNgAlIr Di SuNgAi YaNg TeNaNg.... BoLeH mEmAdAmKaN aPi DaLaM hAtI...

Tuesday 20 December 2011

Kisah Sahabat Nabi (Abu Talhah)

   Abu Talhah memiliki kebun kurma yang luas. Dia menjaga kebunnya dan dia semakin kerap meluangkan masa melihat-lihat pokok-pokok kurma apabila tiba musimnya. Antara kesukaannya ialah melihat bunga-bunga kurma yang mula berputik sehinggalah berbuah ranum di tangkainya.
   Pada musim begitu, burung-burung mula berterbangan riuh-rendah berkicauan, menambahkan lagi suasana harmoni sesiapa sahaja yang berada di kebun itu. Kicauan burung-burung yang hinggap di tangkai-tangkai kurma sambil mematuk merasai nikmat kurma memang mengasyikkan mata memandang. Buat seketika Abu Talhah dibuai rasa seronok memerhatikan keindahan di kebunnya.
   Sekian lama menikmati kicauan burung-burung di kebunnya, dia tersentak lalu melangkah ke kolam yang terletak di tengah-tengah kebun. Pemandangan di kebunnya memang indah. Deretan pokok-pokok kurma dan di tengah-tengahnya ada sebuah kolam. Selesai mengambil air sembahyang, Abu Talhah berdiri tidak jauh dari situ dan mengangkat tangan, memulakan sembahyangnya.
   Ketika mendirikan sembahyang, matanya mula mengekori beberapa ekor burung yang hinggap di sebatang pokok kurma di hadapannya. Kicauan burung-burung itu sungguh menimbulkan suasana asyik. Abu Talhah terus memerhati pergerakan burung-burung di hadapannya yang terbang dari satu pokok ke satu pokok.
   Asyiknya Abu Talhah memerhati, sehingga dia terlupa bilangan rakaat di dalam sembahyangnya. Dia segera bangun lalu meninggalkan kebun kurmanya menuju ke tempat Nabi Muhammad. Sebaik sahaja memberi salam, Abu Talhah duduk di hadapan Nabi Muhammad dan berkata,"Saya menunaikan sembahyang ketika berada di kebun. Pada masa yang sama, beberapa ekor burung berterbangan di hadapan saya dari sebatang pokok ke sebatang pokok. Mata saya melirik memerhatikannya dengan asyik sekali sehingga saya terlupa sudah berapa rakaat saya sembahyang." Nabi Muhammad mendengar setiap patah yang dikatakan oleh Abu Talhah dan mengertilah baginda maksud keluhan kata-kata Abu Talhah itu. Itulah dugaan keindahan alam.
   Akibat rasa bersalah kerana lalai ketika solat, Abu Talhah mengambil tindakan untuk sedekahkan kebun dan segala isinya kepada fakir miskin dan menyerahkannya kepada Nabi Muhammad sama ada mahu memanfaatkannya untuk apa-apa keperluan lain.


WALAU APA PUN KESUKAAN KAMU, BERPADA-PADALAH. JANGAN SAMPAI IA MELALAIKAN KAMU DARIPADA MENGINGATI ALLAH.....

No comments:

Post a Comment